“Wahai saudaraku! Jangan engkau
dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika
engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti
dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di
satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta
belas orang yang lalu-lalang.
Orang yang
lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada
juga yang tidak mempedulikannya langsung.
Pada setiap
pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya
seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan
ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah.
Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu
menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata
apa-apa.
Pengemis buta
Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera
sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke
mulutnya.
Perbuatan
baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan
baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu
setiap pagi.
Pada satu pagi,
Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan
isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Wahai anakku Aisyah, apakah
kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?” tanya Saidina
Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa
sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan, kecuali satu,” beritahu Aisyah
sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
tanya
Saidina Abu Bakar lagi.
“Setiap pagi Rasulullah akan membawa
makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan
menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak
ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah
kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan
seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang
selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina
Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada keesokan
harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang
Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari,
akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra
segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.
“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu
menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis
buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti
kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu
setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah
pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu
menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku
dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian
barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak
menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina
Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang
yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan
tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya
yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu
dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia
telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina
Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis
itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan
yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena
pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta
itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru
didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama ini aku menghinanya, aku
memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus
juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah
kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis
itu sambil menangis teresak-esak.
“Dia memang insan yang sangat mulia.
Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia
telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi
saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis
buta itu.
Selepas
peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar
ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui KEESAAN Allah..
Pengajaran:Marilah kita contohilah sifat Rasulullah yang sangat penyabar. Walaupun baginda dihina oleh pengemis itu, namun tidak sekali2 Baginda marah dan mengeluh. Andaikata perkara tu terjadi kat kita, dah tentu kita mengamuk.. jauh sekali nak bagi makan. Marilah kita renungkan bersama.
-WASSALAM-
-WASSALAM-
Info ini dipetik dari:http://harmoni-my.org/arkib/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan