Nabi
Sulaiman (a.s.) adalah salah seorang hamba Allah SWT yang terpilih di antara
hamba-hamba Nya yang lain. Baginda beri kelebihan hikmah dan ilmu dengan
dikurniakan mukjizat yang besar dari Allah SWT.Antara mukjizat yang tersebut
ialah boleh memahami dan berinteraksi dengan jin dan haiwan. Allah SWT juga
telah menundukkan angin kencang untuk membawa Nabi Sulaiman (a.s.) ke sesuatu
tempat yang diberkati Nya, menundukkan segolongan syaitan dan segolongan jin
supaya berkhidmat kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Semuanya berlaku dengan
kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT.Pada suatu masa dahulu, Nabi Sulaiman
(a.s.) dengan kekuasaan Tuhan telah menghimpunkan bala tenteranya yang terdiri
dari golongan jin, manusia dan burung-burung. Maka berhimpun lah mereka
mengikut tertib dalam barisan masing-masing.Ketika memeriksa barisan tenteranya
dari kalangan burung-burung, baginda menyedari bahawa Burung Hud-hud tidak
hadir dalam perbarisan. Baginda berkata bahawa Hud-hud akan dikenakan hukuman
atau disembelih sekiranya ketidakhadirannya tanpa alasan yang jelas.
Tidak
lama kemudian Hud-hud pun datang dengan membawa suatu berita penting dari
negeri Saba yang didakwa Hud-hud, baginda sendiri pun belum mendengarnya.
Hud-hud pun bercerita lah mengenai Puteri Balqis, pemerintah negeri Saba yang
dianugerahi segala apa yang dihajati serta mempunyai singahsana yang besar.Hud-hud
juga melaporkan bahawa puteri tersebut dan rakyat di bawah naungannya
menyekutukan Allah SWT lalu menyembah matahari kerana mereka telah disesatkan
oleh syaitan.Baginda seraya bertitah kepada Hud-hud, “Akan kami
lihat, apa kamu benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta.
Pergilah dengan membawa suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian
berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”Maka
Hud-hud pun melakukan sebagaimana yang dititahkan oleh Nabi Sulaiman (a.s.)
dengan membawa sepucuk surat lalu dijatuhkan kepada Puteri Balqis. Kemudiannya
Hud-hud berpaling dan mencuri dengar perbualan puteri dengan para pembesarnya.
Lalu
Puteri Balqis berkata,
“Hai
pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia.
Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya: ‘Dengan
menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah
kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai
orang-orang berserah diri ‘.”Puteri Balqis
kemudiannya meminta nasihat dari para pembesar negeri dalam membuat keputusan
bagi menentukan tindakan yang sepatutnya diambil. Namun para pembesarnya
menyerahkan pertimbangan tersebut di tangan puteri sendiri dengan berkata, “Kita
adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan memiliki keberanian yang sangat
(dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa
yang akan kamu perintahkan”.Puteri seraya
berkata kepada para pembesar, “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri,
nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi
hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat dan sesungguhnya aku akan
mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu
apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.”Hud-hud
pun pulang melaporkan kepada Nabi Sulaiman (a.s.) tentang apa yang telah
didengarinya. Utusan dari Puteri Balqis pun tiba kepada Nabi Sulaiman (a.s.).
Baginda kemudiannya membalas utusan dengan mesej berbunyi: “Apakah
kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih
baik daripada apa yang diberikan Nya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan
hadiahmu. Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan
bala tentara yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir
mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi
(tawanan-tawanan) yang hina dina”.
Setelah
utusan tersebut berangkat ke negeri Saba, Nabi Sulaiman (a.s.) berbincang dengan
para pembesar baginda mengenai niatnya untuk membuatkan kerajaan negeri Saba
menyerah diri dan seterusnya menerima Islam. Baginda telah mempunyai rancangan
yang bijaksana bagaimana hendak membuatkan Puteri Balqis mengaku kalah dengan
bukti kebesaran Allah SWT.“Hai
pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa
singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang
berserah diri?”, tanya
baginda.Pertanyaan tersebut telah disahut oleh sejenis jin yang cerdik bernama
Ifrit yang menjawab, “Aku
akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu
berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya
lagi dapat dipercayai”.Jin
Ifrit menganggap dirinya benar-benar kuat untuk membawa singgahsana Puteri
Balqis dalam kadar yang pantas iaitu sebelum pun nabi Sulaiman (a.s.) berdiri
dari keadaan duduknya.Tiba-tiba seorang hamba Allah dari kalangan manusia yang
dikurnia ilmu Allah SWT dari al-Kitab pula menyahut, “Aku akan
membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Sebelum sempat mata Nabi Sulaiman (a.s.) berkedip,
maka tersergamlah singgahsana Puteri Balqis di hadapan baginda.Seraya baginda
berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah
aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang
bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang
siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.Ratu
Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal yang cerdas,
oleh sebab itulah golongan jin merasa iri hati dengannya. Mereka mengatakan
bahawa Ratu Balqis itu mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua
betisnya seperti betis unta.
Nabi
Sulaiman sangat cerdik. Baginda menggunakan cara lain untuk memperlihatkan
kekuasaan Allah kepada Ratu Balqis. Maka Nabi Sulaiman memerintahkan supaya
para Jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis, lalu beliau menyuruh pula
membangun sebuah mahligai yang dibuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai
tersebut dan kelilingnya mengalir sungai-sungai dengan berisikan ikan-ikan, di
atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.Ketika Ratu Balqis dan
rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: “Apakah
ini singgahsanamu?Ratu
Balqis menjawab: Mungkin!Dia tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya ada sedikit
perubahan. Tetapi tidak mengatakan bukan, disebabkan ada sebahagian yang serupa
dengan singgah-sananya. Dari jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as
bahawa ia adalah seorang wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.Kemudian
Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika Ratu Balqis
melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan ada aliran air, sehingga ia
mengangkat kainnya, sehingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman a.s melihat
betisnya itu, maka tidak ada satu aib pun seperti yang disampaikan oleh
golongan jin.Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: “Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk
daripada kaca.”ketika
Ratu Balqis menyaksikan betapa hebatnya Nabi Sulaiman, ia berkata dalam
hatinya: “Walaupun
kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun
jika dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak
bererti.Kemudian
ia berkata seperti yang diungkapkan di dalam Quran, firman Allah SWT surah An
Naml ayat 44 bermaksud: “Ya
Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah
diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam” .Setelah itu
Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi Sulaiman as. Peristiwa pernikahan Nabi
Sulaiman dengan Ratu Balqis ini terjadi pada hari Jumaat.
Begitu
besarnya kerajaan Nabi Sulaiman as. yang mana angin sebagai kenderaannya,
manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu dan teman-teman
bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai
utusannya.Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian tanahnya terbuat
daripada emas dan sebahagian lagi daripada perak. Jika tenteranya berbaris di
padang itu, maka panjang barisan itu tidak kurang dari seratus parsakh.
Sedangkan luas tempat tinggalnya adalah sebulan perjalanan.Kemudian golongan
jin membuat untuknya sebuah permaidani daripada emas dan perak. Pada permaidani
tersebut terdapat dua belas ribu mihrab, pada setiap mihrab terdapat kursi
daripada emas dan perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap kursi tersebut
seorang yang alim dari ulamak Bani Israil.Pada setiap hari dimasak kira-kira
seribu unta, empat ribu lembu dan empat puluh ribu kambing. Nabi Sulaiman juga
mempunyai piring-piring yang besar bagaikan kolam dan periuk yang tetap berada
di atas tungku.
Firman Allah SWT:
“Para
jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan yang
tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan
periuk yang tetap berada di atas tungku.” (Saba’: 13)
Begitu
besarnya nikmat dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan dan
kenikmatan umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga nanti disediakan
tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun, sungai-sungai dan buah-buahan.
Di dalamnya diperolehi segala sesuatu yang menyenangkan jiwa dan mata. Di
dalamnya juga terdapat sesuatu yang tidak pernah terlintas oleh fikiran
manusia.Dikisahkan bahawa serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW
di dalam Syurga itu ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman as. Malah lebih
baik, kerana Syurga adalah tempat yang abadi. Di dalamnya tidak ada matahari,
kesejukan, kesakitan, kesusahan serta lain-lain penderitaan. Di Syurga adalah
tempat yang abadi, kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa dihitung, penerimaan
tanpa ditolak.Ada Syurga yang dinamakan dengan Darussalam, di dalamnya
mempunyai keselamatan tanpa adanya kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka,
kecintaan tanpa permusuhan, kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam lagi
kenikmatan yang sukar untuk diungkapkan.Kemudian Syurga Jannatunna’im.
Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka
Syurga kenikmatan. Di dalamnya para hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para
nabi menjadi sahabatnya, tinggal kekal dalamnya dengan kurnia yang
berlimpah ruah. Tidak ada kesusahan di dalamnya, terdapat bidadari cantik dan
jelita, mahligainya tinggi dan tempat yang luas.Syurga Firdaus, disediakan bagi
orang-orang yang tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, menjauhkan diri
daripada perbuatan maksiat, tidak membuat kemungkaran serta menjalankan segala
yang diperintahkan Allah SWT. Allah SWT menjadikan penghuni Syurga ini sebagai
kekasihNya.Di dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari air
tawar, sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai dari air arak
yang lazat rasanya dan sungai air madu. Di dalamnya juga diperolehi berbagai
macam buah-buahan. Ada lagi empat mata air iaitu: Salsabil, Zanjabil, Rohiiq
dan Tasniim. Ada lagi dua mata air yang mengalir dan dua mata air yang
memancar, iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar. Di dalamnya juga diperolehi segala
sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga dan tidak
pernah terlintas dalam hati.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya
orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat
yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.”
(Al-Qamar: 54-55)
(Al-Qamar: 54-55)
Dipetik Dari
Buku: 2002
Misteri Siri 2 “Himpunan Kisah-kisah Jin Iblis & Syaitan
Pengarang: Muhammad Isa Selamat.
Pengarang: Muhammad Isa Selamat.
Info ini dipetik dari: http://akuislam.com/blog
Tiada ulasan:
Catat Ulasan